BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pelancaran roket Starship milik Elon Musk gagal lagi

TEXAS – Ujian terbaru roket gergasi Starship milik SpaceX gagal buat kali kedua selepas beberapa minit dilancarkan dari Boca Chica, di sini, semalam.

Menurut kenyataan syarikat milik Elon Musk itu, masalah berlaku semasa peringkat ‘pendakian’ roket berkenaan yang menyebabkan ia hilang kawalan selepas bermisah

Bagaimanapun, bahagian Super Heavy Booster berjaya kembali ke landasan pelancaran seperti dirancang, mencetuskan sorakan daripada pasukan kawalan darat.

“Starship mengalami ‘pembongkaran tidak dijadualkan’ semasa fasa pembakaran pendakian. Pasukan kami akan menilai data penerbangan untuk memahami punca masalah,” menurut SpaceX dalam satu hantaran di media sosial X.

Pelancaran menerbangkan Starship yang dipasang di atas penggalak roket Super Heavy itu merupakan cubaan kali kedua selepas percubaan pertama pada April lalu gagal ekoran berlaku letupan kira-kira empat minit selepas dilancarkan.

Serpihan daripada roket gergasi Starship milik SpaceX yang gagal buat kali kedua selepas beberapa minit dilancarkan dari Boca Chica, Texas.

Tambah kenyataan itu, ujian itu tetap memberi banyak pengajaran dan hasil penerbangan kali ini dijangka dapat membantu meningkatkan kebolehpercayaan Starship pada masa depan.

Rakaman tidak rasmi yang dikongsi di media sosial menunjukkan roket berkenaan terbakar dan serpihan api berterbangan di udara, meninggalkan jejak asap panjang di ruang langit.

Elon Musk turut memuat naik video pelancaran itu di platform X sambil menulis, “Kejayaan tidak pasti, tetapi hiburan dijamin!”

Musk juga mengesahkan bahawa versi roket dan penggalak yang lebih baik sudah bersedia untuk ujian pelancaran seterusnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button