Pedih ‘pengkhianatan’ terubat dengan air mata ahli muda – Rafizi Ramli
CYBERJAYA – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui kepedihan terhadap apa yang dianggapnya sebagai ‘pengkhianatan’ sedikit terubat apabila ada ahli muda parti yang menangis dan merayu kepadanya supaya tidak meninggalkan parti setelah tewas dalam pemilihan, semalam.
Beliau berkata, kekalahannya sudah tentu mengecewakan para penyokongnya, namun mereka harus percaya kepada proses.
“Saya amat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menangis dan merayu supaya saya tidak meninggalkan PKR walaupun terasa pedihnya pengkhianatan. Harapan itu masih wujud.
“Saya tidak pernah berhasrat untuk mengalah terhadap kepercayaan idealistik bahawa Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik, satu kepercayaan yang pada asalnya menarik saya ke kancah aktivisme dan politik.
“Untuk setiap masalah, pasti ada banyak penyelesaian. Untuk setiap halangan, pasti ada jalan untuk mengatasinya,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosialnya, hari ini.
Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, malam tadi.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi manakala Rafizi meraih 3,866 undi.
Untuk rekod, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 2018.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak terlalu kecewa dengan keputusan berkenaan.
“Malah, saya rasa lega kerana kini saya boleh kembali menjalani kehidupan peribadi, jauh dari gelagat dan sandiwara di koridor kuasa,” katanya lagi.
Beliau kemudiannya mengakui tidak berminat untuk terus bercakap mengenai keputusan, kerana segala persoalan mengenai sistem pemilihan telahpun disuarakan dengan lantang sebelum ini.
“Saya amat memahami rasa kecewa dan hilang keyakinan dalam kalangan ahli dan penyokong biasa PKR di luar sana.
“Ia akan mengambil masa untuk menghilangkan rasa seolah-olah segala usaha dan pengorbanan selama bertahun-tahun terhadap idealisme PKR telah menjadi sia-sia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








