BERITA SEMASASUKAN

Pearly-Thinaah terkandas di separuh akhir, beregu lelaki negara tersingkir awal

PETALING JAYA – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke final Jelajah Dunia BWF tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 19-21, 13-21 pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah dikecewakan buat kali kedua berturut-turut oleh gandingan Jepun berkenaan dalam tempoh dua hari, selepas turut tewas pada perlawanan terakhir Kumpulan B, kelmarin.

Namun, pasangan negara masih boleh menarik nafas lega apabila dijangka membawa pulang wang kemenangan kira-kira AS$60,000 (RM245,000) hasil pencapaian mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.

Dalam pada itu, kem badminton negara terus malap apabila beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tumbang kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-17, 18-21, 15-21 pada aksi terakhir Kumpulan B, kelmarin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Olimpik Hangzhou, Aaron-Wooi Yik memerlukan kemenangan straight set untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir berikutan persaingan sengit dengan pasangan China, Liang Weikeng-Wang Chang.

Related Articles

Bagaimanapun, Rankireddy-Shetty yang sudah terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, tetap memberi tentangan hebat sebelum kesilapan mudah pada set kedua membuka ruang kepada pasangan India itu mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kekalahan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal melepasi peringkat kumpulan buat kali keenam dalam penyertaan mereka di Jelajah Dunia BWF.

Nasib sama turut menimpa satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang tersingkir selepas tewas tipis kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae 23-25, 21-14, 19-21 dalam aksi Kumpulan A.

Wei Chong-Kai Wun memerlukan kemenangan untuk mara ke separuh akhir, namun ketahanan serta pengalaman gandingan Korea Selatan itu menjadi penghalang terakhir kepada kemaraan pasangan muda negara berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button