JLM siasat punca kapal tangki hanyut langgar jambatan
PASIR GUDANG – Jabatan Laut Malaysia (JLM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah kapal tangki hanyut melanggar struktur Jambatan Sungai Johor di Telok Sengat semalam.
Menurut JLM, kapal berkenaan dipercayai hanyut selepas diturunkan ke air dari sebuah limbungan kapal berhampiran sebelum hanyut akibat arus deras.
Keadaan itu menyebabkan bot tunda yang mengiringi kapal terbabit gagal mengawal pergerakannya berikutan arus yang kuat selain berdepan kekangan kuasa tunda.
“Dua bot tunda bantuan kemudian tiba di lokasi dan berjaya menarik kapal berkenaan menjauhi struktur jambatan sebelum ia dilabuhkan dengan selamat,” menurut kenyataan JLM.
Dalam kejadian itu, kapal berkenaan mengalami kerosakan kecil membabitkan bahagian ekzos, pagar keselamatan (railing) dan peralatan navigasi.
Struktur Jambatan Sungai Johor turut dilaporkan mengalami kerosakan ringan.
JLM berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan pelayaran serta integriti struktur jambatan terus diberikan perhatian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini.
“Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) mengesahkan struktur Jambatan Sungai Johor kekal selamat dan kejadian berkenaan tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
SDEB turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan struktur jambatan berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna terus terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


