Parti Bersama tolak struktur politik tradisional
KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) tidak akan menggunakan struktur politik tradisional seperti bahagian dan cawangan kerana model berkenaan disifatkan semakin tidak relevan dengan landskap politik semasa.
Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendekatan politik berbentuk “analog” yang diamalkan kebanyakan parti ketika ini sering menjadi punca perbalahan dalaman susulan perebutan jawatan di peringkat tempatan.
“BERSAMA akan menggunakan sistem pengurusan berpusat secara digital menerusi aplikasi Kancil bagi mengendalikan urusan keahlian dan aktiviti parti di seluruh negara.
“BERSAMA tidak akan mempunyai pasukan penaja atau ketua penaja kawasan. Semua pengurusan ahli dan aktiviti akan diselaraskan secara terus melalui aplikasi,” katanya dalam hantaran di Facebook Parti Bersama Malaysia hari ini.
Beliau berkata, parti itu juga akan menggunakan struktur organisasi yang lebih ‘flat’ atau rata bagi mengurangkan birokrasi yang boleh melumpuhkan gerak kerja parti.
Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan pengurusan pusat mengenal pasti ahli paling aktif tanpa perlu melalui ketua tempatan.
Rafizi berkata, BERSAMA akan diuruskan seperti sebuah ‘startup’ yang membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas termasuk dalam urusan pemilihan dan penempatan calon di kerusi berpotensi.
Tambah beliau, struktur itu direka khusus untuk menyokong kempen digital dengan memanfaatkan kepakaran ahli dalam menghasilkan kandungan media sosial serta menjalankan aktiviti canvassing yang diselaraskan menerusi arahan digital.
Beliau turut berkata, parti berkenaan akan mengadakan jelajah negeri yang diketuai oleh Nik Nazmi Nik Ahmad selepas Hari Raya Aidiladha bagi bertemu ahli serta menerangkan agenda perjuangan parti secara langsung.
Menurutnya, pendekatan tanpa jawatan bahagian dan cawangan itu bertujuan mengelakkan gangguan akibat ahli terlalu berlumba-lumba mahu menjadi ketua tempatan sekali gus membolehkan mereka memberi fokus sepenuhnya kepada persediaan menghadapi pilihan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













