Pemuda UMNO Setiawangsa tegur Nik Nazmi, ingatkan kerusi Parlimen bukan milik individu
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, Fadzmel Fadzil mengingatkan bahawa kerusi Parlimen bukan milik mana-mana individu dan tidak boleh dijadikan alat rundingan politik.
Malah tegasnya, kerusi Parlimen bukan tempat persinggahan politik, bukan juga cagaran untuk rundingan selepas berlaku krisis dalaman parti.
“Ia adalah amanah rakyat. Mandat yang diberikan dalam pilihan raya bukan sekadar kepada seorang calon, tetapi juga kepada parti, perjuangan dan kepercayaan yang dibawa ketika itu.
“Jadi, sebarang langkah berkaitan kedudukan kerusi Parlimen mestilah ditangani secara serius, tertib dan berpandukan proses Perlembagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadzmel berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini membabitkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan akan mengosongkan kerusi tersebut bermula esok.
Tambahnya, beliau mengikuti dengan teliti luahan Nik Nazmi berkaitan perjalanan politiknya termasuk dakwaan bahawa reformasi yang pernah diperjuangkan kini hanya tinggal janji.
“Satu kebetulan yang menarik .. suara sebegini hanya benar-benar kedengaran selepas beliau tidak lagi menjadi Naib Presiden PKR.
“Tapi mungkin itu lumrah politik. Ada prinsip yang lantang ketika menang. Ada pula yang lebih jelas kedengaran selepas hilang kedudukan.
“Ada yang berdegar ketika menjadi pembangkang tetapi lesu pemikiran bila sudah menjawat jawatan,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun tidak berhasrat mengulas panjang mengenai urusan dalaman parti lain, namun mengakui menerima banyak pertanyaan berhubung kedudukan Nik Nazmi di Setiawangsa sejak semalam.
Menurutnya, rakyat boleh menilai sendiri prestasi wakil rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan sejak tahun 2018.
“Dalam politik, rekod tidak boleh disolek dengan senang. Apa yang dibuat, rakyat tahu. Apa yang tidak dibuat, pun rakyat juga tahu,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa sebarang kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu dielakkan memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) dijangka berlangsung dalam tempoh tidak lama lagi.
“Setiawangsa tak boleh jadi pentas drama elit politik. Di sini, rakyat tidak menunggu babak baharu perebutan kuasa.
“Mereka menunggu penyelesaian kepada kos sara hidup, kesesakan trafik, masalah parkir, keselamatan komuniti, penyelenggaraan kawasan perumahan dan peluang lebih baik untuk anak muda,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzmel turut mendoakan yang terbaik buat Nik Nazmi dalam perjalanan politik baharunya.
Beliau turut berseloroh mengenai penggunaan akronim MU oleh Nik Nazmi walaupun Ahli Parlimen itu dikenali sebagai penyokong setia kelab bola sepak Liverpool F.C. yang sinonim dengan slogan YNWA.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













