PENDAPATRENCANA

Papa Zola The Movie: Animasi tempatan dalam Bingkai Epistemologi Tawhidi dan Aspirasi Malaysia MADANI

KEMUNCULAN filem animasi tempatan Papa Zola The Movie memperlihatkan perkembangan positif industri kreatif negara yang semakin matang, bukan sahaja dari sudut teknikal dan penceritaan, malah dari segi kandungan nilai yang dibawa.

Di sebalik pendekatan santai dan humor kekeluargaan, filem ini menyimpan potensi besar sebagai wahana pendidikan nilai berteraskan Epistemologi Tawhidi, selari dengan aspirasi pembinaan Malaysia MADANI.

Filem ini mengangkat kisah kehidupan seharian sebuah keluarga dengan Papa Zola sebagai figura utama iaitu seorang bapa yang berdepan cabaran mendidik anak, mengurus tanggungjawab dan membuat keputusan moral dalam dunia yang serba mencabar.

Naratif ini kelihatan sederhana, namun kesederhanaan inilah yang menjadikannya signifikan untuk dianalisis dalam konteks pemikiran Islam kontemporari.

Epistemologi Tawhidi: Ilmu yang tersulam nilai

Dalam tradisi pemikiran Islam, Epistemologi Tawhidi menegaskan bahawa ilmu tidak bersifat neutral atau bebas nilai.

Syed Muhammad Naquib al-Attas menekankan bahawa ilmu yang benar mesti berpaksikan kepada pengiktirafan terhadap keesaan Allah dan membawa manusia kepada keadilan serta adab yang betul.

Dalam karya Islam and Secularism (1978), al-Attas menghuraikan bahawa kekeliruan ilmu berlaku apabila pengetahuan dipisahkan daripada tujuan hakiki dan nilai kebenaran.

Papa Zola
Nilai ihsan dizahirkan melalui hubungan kekeluargaan yang penuh empati dan kesabaran.

Pendekatan ini dapat dikesan secara implisit dalam Papa Zola The Movie.

Watak Papa Zola tidak digambarkan sebagai individu yang sentiasa betul tetapi sebagai insan yang sedar akan tanggungjawab moralnya.

Setiap keputusan yang diambil sama ada berkaitan keluarga, pekerjaan atau hubungan sosial ditimbang tara dari sudut kesan dan nilai, bukan semata-mata keuntungan atau kepuasan diri.

Hal ini selari dengan gagasan al-Attas bahawa ilmu seharusnya melahirkan insan beradab yakni individu yang mengetahui tempat dirinya, Tuhannya, masyarakatnya dan alam sekeliling.

Dalam konteks animasi ini, adab diterjemahkan melalui tingkah laku, kesantunan berbahasa dan sikap saling menghormati antara watak, khususnya dalam institusi keluarga.

Ilmu sebagai panduan amal, bukan Utopia kosong

Ismail Raji al-Faruqi pula melalui gagasan Islamisasi ilmu menegaskan bahawa pengetahuan mesti disepadukan dengan prinsip Tawhid agar dapat membimbing tindakan manusia ke arah kebaikan.

Dalam Al-Tawhid: Its Implications for Thought and Life (1982), al-Faruqi menjelaskan bahawa Tawhid bukan sekadar doktrin teologi tetapi prinsip menyeluruh yang menyatukan pemikiran, budaya dan tingkah laku manusia.

Prinsip Epistemologi Tawhidi ini tercermin dalam Papa Zola The Movie apabila ilmu dan pengalaman hidup digunakan sebagai panduan tindakan.

Kesilapan tidak diraikan tetapi dijadikan sumber pengajaran

Watak dewasa berperanan sebagai pendidik moral bukan autoriti mutlak, manakala kanak-kanak digambarkan sebagai subjek pembelajaran yang aktif dan berkembang.

Pendekatan ini mengukuhkan kefahaman bahawa ilmu bukan sekadar apa yang diketahui tetapi bagaimana pengetahuan itu diterjemahkan ke dalam amal.

Inilah teras Epistemologi Tawhidi iaitu penyatuan antara ilmu, nilai dan perbuatan.

Konflik kehidupan sebagai horizon tarbiyah

Konflik yang dipaparkan dalam Papa Zola The Movie bersifat realistik dan dekat dengan kehidupan seharian.

Ia tidak dibina atas pertentangan jahat lawan baik secara ekstrem, sebaliknya berpaksikan dilema manusia biasa seperti salah faham, tekanan hidup dan kelemahan diri.

Dalam kerangka Epistemologi Tawhidi, konflik sebegini dilihat sebagai medan tarbiyah dan pembentukan insan.

Papa Zola
Konflik yang dipaparkan dalam Papa Zola The Movie bersifat realistik dan dekat dengan kehidupan seharian.

Al-Attas menegaskan bahawa tujuan pendidikan Islam ialah melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, intelek dan jasmani.

Filem ini menyokong gagasan tersebut dengan menampilkan proses pembelajaran berterusan melalui kesedaran, penyesalan dan pembaikan diri.

Selari dengan Aspirasi Malaysia MADANI

Dari sudut Malaysia MADANI, Papa Zola The Movie boleh dibaca sebagai karya yang menyokong pembangunan masyarakat berteraskan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sosial.

Konsep MADANI menekankan pembangunan insan secara menyeluruh, berlandaskan etika, ihsan dan keadilan.

Nilai ihsan dizahirkan melalui hubungan kekeluargaan yang penuh empati dan kesabaran.

Adab dan hormat menjadi asas interaksi antara watak manakala kesejahteraan digambarkan sebagai hasil keseimbangan antara tanggungjawab dan kasih sayang.

Semua ini selari dengan pandangan al-Faruqi bahawa Tawhid merupakan asas pembinaan masyarakat yang adil dan berperikemanusiaan.

Di samping itu, penghasilan animasi tempatan yang sarat nilai turut menyumbang kepada aspek daya cipta dalam kerangka MADANI.

Ia membuktikan bahawa kemajuan teknologi dan kreativiti boleh bergerak seiring dengan pembinaan akhlak dan identiti.

Media, pandangan alam dan pembinaan tamadun

Dalam masyarakat moden, media merupakan alat penting pembentukan pandangan alam (worldview).

Al-Faruqi menegaskan bahawa setiap produk budaya mencerminkan sistem nilai tertentu.

Justeru, animasi seperti Papa Zola The Movie berpotensi membentuk pandangan alam berteraskan Epistemologi Tawhidi secara halus, berkesan dan sesuai dengan konteks masyarakat majmuk.

Pendekatan yang sederhana dan tidak dogmatik ini selari dengan prinsip wasatiyyah yang menjadi tunjang kepada gagasan Malaysia MADANI.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Papa Zola The Movie bukan sekadar sebuah filem animasi hiburan tetapi sebuah karya yang boleh difahami sebagai medium pembinaan nilai dan pemikiran masyarakat.

Melalui lensa Epistemologi Tawhidi seperti yang dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail Raji al-Faruqi, filem ini memperlihatkan bagaimana ilmu, adab dan amal boleh disepadukan dalam naratif popular.

Pada masa yang sama, karya ini menyokong aspirasi Malaysia MADANI dengan mengangkat nilai kemanusiaan, kekeluargaan dan tanggungjawab sosial secara inklusif dan berhemah.

Sekiranya lebih banyak karya animasi tempatan mengikut jejak ini, Insya-Allah, industri kreatif negara berpotensi menjadi wahana penting dalam pembinaan generasi beradab dan masyarakat MADANI yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

DR MOHD SAIPUDDIN SULIMAN

DR MOHD SAIPUDDIN SULIMAN

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Kuliyyah Bahasa Kontemporari dan Pelancongan Lestari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button