BERITA SEMASA

OP MURNI ATM: 4,428 anggota siapsaga hadapi MTL

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempersiapkan seramai 4,428 anggota tentera bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula November hingga Mac tahun hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan berkenaan merupakan tindakan proaktif ATM menerusi Operasi Murni (OP MURNI ATM) bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menangani risiko bencana semasa musim tengkujuh.

“Fungsi ATM bukan sahaja (sebagai) benteng pertahanan negara, malah komponen penting bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, terutama ketika musim tengkujuh.

“Dalam situasi bencana banjir, ATM akan terus ke hadapan untuk membantu, menyelamat dan bertindak berdasarkan penilaian di lapangan,” kata beliau, semalam.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Persiapan OP MURNI ATM, di Wisma Pertahanan, di sini semalam.

op murni
Mohamed Khaled memberitahu pemberita sebanyak 506 aset mobiliti darat, 7,355 aset mobiliti perairan dan 19 aset mobiliti udara sedia diatur gerak dalam OP MURNI ATM.

Selain kesiapsagaan anggota, ATM turut mempersiapkan 506 aset mobiliti darat, 7,355 aset mobiliti perairan dan 19 aset mobiliti udara untuk diatur gerakkan di seluruh negara terutamanya ke kawasan sasaran bencana.

OP MURNI ATM akan diterajui Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai pengelola, manakala Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (OPLAT TD) berperanan sebagai Point of Contact kepada NADMA.

“Selain itu, 15 Appointed Military Commander (AMC) daripada Panglima Divisyen dan Briged di Semenanjung, Sabah dan Sarawak turut dilantik bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya lagi.

Sewaktu taklimat berkenaan, Mohamed Khaled turut dibawa meninjau dengan lebih dekat kesiagaan aset OP MURNI ATM yang akan diatur gerak ke kawasan terjejas apabila diperlukan.

op murni
Antara aset ATM yang akan terlibat dalam OP MURNI ATM. – GAMBAR IHSAN ATM

Sebanyak 17 aset dibawa yang terdiri daripada trak tujuh tan jenis TATRA dan AMDAC, trak tiga tan dan satu tan, water trailer, ambulan medan, bot lengkap peralatan keselamatan serta khemah modular.

Sebagai rekod, OP MURNI ATM dilaksanakan selaras pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) bagi melindungi rakyat semasa kecemasan dan bencana.

Mohamed Khaled turut menegaskan, ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan anggota, aset dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa berada pada tahap optimum serta mampu memberikan tindak balas pantas.

“Usaha ini mencerminkan komitmen ATM bukan sahaja sebagai benteng pertahanan negara tetapi juga sebagai organisasi yang mendukung keselamatan dan kesejahteraan rakyat pada setiap masa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button