BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Najib tarik balik rayuan Titah Adendum, tidak lagi mohon jalani baki hukuman di rumah

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan semakan kehakiman mengenai Titah Adendum.

Perkembangan itu bermakna bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun tersebut tidak lagi meneruskan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, firma berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib selaku perayu berhasrat menarik balik rayuan tersebut.

Pada 28 April 2025, Mahkamah Persekutuan menetapkan prosiding pendengaran rayuan selama dua hari bermula 1 Julai tahun sama.

Serentak dengan prosiding itu, Peguam Negara memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.

Titah Adendum itu dipercayai diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah berhubung sabitan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

BACA JUGA:

Keputusan Titah Adendum kes Najib diketahui esok

Titah Adendum: Keputusan Mahkamah Tinggi tidak jejas kuasa pengampunan Institusi Diraja – AGC

Panel hakim turut membenarkan rayuan Peguam Negara terhadap keputusan berhubung notis usul Najib bagi mengemukakan keterangan baharu bertarikh 3 Disember 2024.

Keterangan baharu itu termasuk afidavit anak Najib, Datuk Mohd Nizar yang memuatkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun dokumen itu tidak boleh digunakan tanpa perkenan Sultan Pahang.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara dalam permohonan itu adalah isu baharu yang belum pernah diputuskan serta melibatkan kepentingan awam.

Terdahulu, pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah supaya kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon ialah supaya responden atau salah seorang daripada mereka mengemukakan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap beliau.

Najib juga memohon supaya jika titah itu benar wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka diarahkan melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dan telah memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sebelum ini, pada 3 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman sebelum beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button