Nahas penuntut UPSI: Lebih 3,000 solatkan jenazah 13 mangsa di Masjid Hadhari
JERTEH – Lebih 3,000 orang memberikan penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah awal pagi tadi buat 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik, Perak, semalam.
Kesemua jenazah mereka yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding dibawa ke Masjid Hadhari, di sini.

Konvoi van yang membawa jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak itu tiba di pekarangan masjid pada pukul 2.55 pagi tadi, memetik laporan Bernama.
Jenazah kemudian selesai disembahyangkan pada pukul 3.20 pagi.
Ribuan jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan penduduk setempat menyertai solat jenazah yang diimamkan Pengerusi Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Suasana di masjid tersebut sayu dan hiba malah kedengaran esakan tangisan ahli keluarga sehingga ada yang terpaksa dipapah kerana terlalu sedih dengan kehilangan insan tersayang.
Selesai disembahyangkan, semua jenazah dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.
Terdahulu, jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad dan Muhammad Adib Hazim Halim selamat dikebumikan.
Wan Nur Suhaila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, Kampung Raja, Besut pada 11.37 malam tadi.
Manakala jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak, Hulu Besut pada pukul 12.15 tengah malam.
Kedua-duanya dibawa dari Hospital Gerik.
Dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut, manakala 33 lagi cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








