BERITA SEMASA

Nahas enam maut: Lima sekeluarga disemadi dalam satu liang lahad

SUNGAI PETANI – Lima sekeluarga yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah Proton X50 di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi, Merbok, pagi tadi.

Jenazah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29; bayi mereka, Ahmad Mikail Ahmad Shukri yang berusia dua bulan; ibu Ahmad Shafiq, Nora Mohd Husin, 55; serta adiknya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, disemadikan pada pukul 10 pagi.

Kesemua mereka dikebumikan bersebelahan pusara Ahmad Shukri Osman, bapa kepada Ahmad Shafiq dan suami Nora yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara serta anggota dan pegawai polis menghadiri upacara pengebumian tersebut, termasuk Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila beberapa ahli keluarga, terutama anak-anak Allahyarham Nora tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air di pusara insan tersayang.

BACA JUGA:

SUV bertembung lori, enam maut termasuk bayi

Nahas enam maut: Proton X50 baru ‘keluar kedai’ pagi tadi

Keluarga mangsa X50 nafi pemandu terlelap, mohon hentikan spekulasi

Dalam nahas berkenaan, seorang lagi anak Ahmad Shafiq, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, terselamat namun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat kecederaan parah.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terkorban, Iskandar Arfan Ibrahim, 7, telah dibawa pulang ke Penaga, Pulau Pinang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang pada pukul 2 pagi tadi.

Terdahulu, kelima-lima jenazah tiba dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ke Masjid Al Abidi sekitar pukul 9 pagi untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Dalam kejadian pada pukul 3.45 petang semalam, semua mangsa menaiki Proton X50 yang baharu dimiliki Ahmad Fahim dan dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi pusara Allahyarham Ahmad Shukri sebelum kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tanah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button