Nahas bas UPSI: APAD keluarkan surat tunjuk sebab
PUTRAJAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat tersebut akan turut dikenakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715).
“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Loke turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa.
Beliau menekankan, kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuhkan dasar keselamatan jalan raya.
“Kami komited melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
“Antara dasar yang sedang dirangka ialah pelaksanaan wajib ‘Speed Limiter’ (Pengehad Kelajuan) bagi kenderaan berat.
“Dasar ini sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk bagi menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








