BERITA SEMASA

Murid tahun 4 maut disyaki keracunan makanan

SANDAKAN – Seorang murid lelaki tahun empat di sebuah sekolah di sini meninggal dunia akibat keracunan makanan semalam.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, hasil laporan awal mendapati pada Selasa lalu guru kelas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa murid tersebut tidak dapat hadir ke sekolah kerana keracunan makanan.

Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, bukan keracunan disebabkan makanan yang diperoleh dari sekolah kerana ibunya turut mengalami gejala yang sama di rumah mereka.

“Murid ini telah ke klinik dan diberi cuti sakit selama dua hari sehingga Rabu dan guru kelas kemudian dimaklumkan oleh keluarga bahawa anak mereka tiba-tiba pengsan pada malam Rabu dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

“Pada jam 7 pagi Khamis, guru kelas telah dimaklumkan oleh waris bahawa anak mereka telah meninggal dunia dan pada jam 12 tengah hari ini, guru besar bersama beberapa guru telah melawat jenazah di rumah nenek murid tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Susulan kejadian itu, Raisin berkata, kes dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.

“Murid keracunan makanan di rumah bersama ibunya di mana kedua-duanya telah dimasukkan ke wad.

“Keracunan makanan bukan disebabkan makanan di kantin sekolah memandangkan ia melibatkan seorang murid sahaja dan bersama ibunya mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.

“Murid-murid lain tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari Jumaat,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button