BERITA SEMASA

Kes keracunan makanan di MRSM Johor Bahru, JKNJ ambil 21 sampel makanan

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil 21 sampel berkaitan siasatan kes keracunan makanan membabitkan 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, pihaknya turut memeriksa dapur dewan makan dan kafeteria institusi pendidikan itu pada hari sama aduan diterima.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru menerima laporan beberapa pelajar menunjukkan simptom seperti sakit perut, cirit-birit, muntah, loya, sakit kepala dan demam.

“Susulan itu, sebanyak 21 sampel telah diambil untuk siasatan, termasuk tujuh sampel makanan, enam sampel persekitaran, lima sampel klinikal dan tiga sampel dari pengendali makanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Malaysia Tribune melaporkan kira-kira 16 pelajar MRSM Johor Bahru mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam disyaki akibat keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dilaporkan sebagai berkata, kesemua pelajar yang bergejala telah dihantar ke beberapa fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta untuk mendapatkan rawatan.

Susulan kejadian, Mohtar berkata, premis makanan yang disyaki terlibat telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button