BERITA SEMASA

Kes keracunan ragut 2 nyawa: Polis panggil katerer, cikgu dan penganjur program

SHAH ALAM – Pengusaha katering dan penganjur program di sebuah sekolah agama di Gombak akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga akan memanggil guru sekolah tersebut bagi membantu siasatan kes.

“(Kita) masih menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan yang dihadapi mangsa dan ketika ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

“Kita akan panggil katerer, penganjur dan guru sekolah tersebut bagi membantu siasatan dalam masa terdekat. Saya difahamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menutup kantin sekolah itu,” katanya memetik laporan BH Online.

Mengulas lanjut, Hussein berkata setakat ini sebanyak dua laporan diterima daripada ibu bapa.

Katanya, semakan di hospital mendapati tiada mangsa lain yang hadir menerima rawatan susulan keracunan makanan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan budak perempuan dua tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami keracunan makanan dipercayai selepas makan makanan dibawa pulang dari sebuah program anjuran sekolah agama di Gombak, pada Sabtu lalu.

Mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button