BERITA SEMASA

159 pelajar, kakitangan sekolah di Lenggong keracunan makanan

TAIPING – Sebuah premis penyedia perkhidmatan makanan diarah tutup serta-merta selepas disyaki menjadi punca kejadian keracunan makanan yang membabitkan 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama penuh di Lenggong, 9 September lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A. Sivanesan berkata, penutupan premis itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Siasatan awal di lapangan mendapati, 159 kes yang bergejala membabitkan individu berusia antara 13 hingga 52 tahun. Onset terawal kes adalah pada 9 Sept 11.30 malam manakala onset terakhir adalah pada 10 Sept 1.40 tengah hari.

“Premis makanan diarah tutup bagi kerja pembersihan dan kawalan makhluk perosak secara berkala selepas pemeriksaan pada 10 Sept (2 petang) mencatat rating kebersihan sekitar 78.16 peratus,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan Hospital Taiping oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping di sini.

Mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa, Sivanesan berkata pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan (KK) Lenggong telah hadir ke sekolah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan dan memberikan rawatan awal di lokasi dengan 10 individu dirujuk ke KK Lenggong bagi menerima rawatan lanjut.

“Semua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tiada kemasukan ke wad dilaporkan. Bagi mengenal pasti punca kejadian, sebanyak 34 sampel klinikal, 14 sampel persekitaran dan satu sampel makanan telah diambil semalam dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI) bagi tujuan analisis,” katanya lagi. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button