BERITA SEMASA

Bakteria Salmonella dikesan dalam sampel najis mangsa keracunan makanan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesan bakteria Salmonella dalam sampel najis mangsa keracunan makanan selepas makan makanan yang dibawa pulang daripada sebuah program sekolah di Gombak yang mengakibatkan dua kematian Sabtu lalu.

Jurucakapnya berkata, keputusan sampel lain yang dihantar untuk analisa oleh Makmal Kesihatan Awam di Sungai Buloh masih belum selesai.

“Keputusan masih belum selesai untuk sampel lain seperti makanan daripada kejadian, swab dari kawasan permukaan yang berkaitan dan peralatan tempat makanan disediakan, serta sampel klinikal daripada pengendali makanan,” katanya menurut laporan New Straits Times (NST).

Beliau berkata, ada 11 mangsa baharu keracunan makanan yang dimasukkan ke hospital berbanding 82 mangsa yang dilaporkan semalam.

“Lima telah dimasukkan ke wad, manakala tiga lagi masih menunggu untuk disemak di Jabatan Kecemasan setakat 10 pagi tadi,” katanya.

Katanya, tiada amalan jelas yang menyumbang kepada pencemaran yang dikesan kerana pengendali makanan juga sudah mendapat vaksin demam kepialu.

“Dalam membuat telur goreng itu, pengendali makanan akan memecahkannya ke dalam mangkuk sebelum dimasukkan ke dalam kuali untuk digoreng. Semua telur dicuci sebelum digunakan.

“Proses penyediaan makanan membabitkan penggorengan telur, pembungkusan bihun yang dimasak semuanya dilakukan serentak oleh pengendali makanan yang sama.

“Pengendali makanan telah menjalani vaksinasi kepialu. Oleh itu, tiada amalan yang jelas diketahui menyumbang kepada pencemaran,” katanya.

Beliau berkata, telur dan bihun yang digunakan, itu dilaporkan dibeli pada 7 Jun iaitu sehari sebelum kejadian keracunan makanan.

“Telur yang digunakan dalam kejadian ini terdiri daripada telur ayam kampung. Selain telur goreng (telur mata kerbau), telur itu juga dicampurkan ke dalam bihun yang dimasak.

“Susulan itu, bahawa punca sebenar keracunan makanan itu masih dalam siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua meninggal dunia, manakala 82 mangsa berusia di antara 19 bulan hingga 58 tahun mengalami keracunan makanan selepas menikmati sarapan yang disediakan untuk program sebuah sekolah dekat Gombak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button