
Mungkin muncul servis ‘gulung’, backstroke’ jika ISTAF benarkan kaki diangkat – bekas pemain kebangsaan
KUALA LUMPUR – Cadangan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) untuk membenarkan pemain mengangkat kaki ketika melakukan servis dikhuatiri bakal mengubah wajah dan keaslian sukan sepak takraw yang menjadi warisan rantau ini.
Bekas pemain kebangsaan, Suhairi Sulaiman berkata, cadangan tersebut yang kini sedang diperbincangkan di peringkat antarabangsa boleh menjejaskan identiti asal permainan yang menuntut ketepatan teknik dan disiplin semasa melakukan servis.

“Dulu mereka nak hapuskan bulatan, tapi sekarang katanya nak kekalkan bulatan dan pada masa sama benarkan pemain angkat kaki ketika servis.
“Kalau benar dibenarkan, nanti akan muncul teknik baharu seperti servis ‘gulung’ atau ‘backstroke’ yang boleh ubah sepenuhnya gaya permainan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune hari ini.

Menurut Suhairi, tindakan membenarkan kaki diangkat ketika servis akan menyebabkan pemain cuba mencipta gaya baru dengan pusingan penuh atau ‘rotation 360 darjah’, sekali gus menjadikan bola lebih laju dan sukar dibaca pihak lawan.
“Kalau bola dah terlalu laju, pemain lawan pun sukar nak terima bola pertama akhirnya gameplay hilang, sebab semua orang cuma kejar servis laju, bukan lagi ketepatan atau strategi,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, keunikan sepak takraw terletak pada gaya servis tekong yang memerlukan keseimbangan, kemahiran dan seni tersendiri.
“Teknik servis itu sendiri yang jadi jiwa sukan takraw. Tengok saja Shahir Rosdi dari Malaysia atau Sitipong dari Thailand masing-masing ada keunikan yang menghidupkan permainan.
“Kalau kaki boleh diangkat sesuka hati, seni itu akan hilang. Bila semua boleh ‘gulung’ bola, akhirnya permainan jadi hambar,” katanya lagi.
Suhairi juga bimbang langkah itu akan mengurangkan minat negara luar untuk terus bermain sukan tersebut.
“Kalau sukan ini makin sukar dikawal dan bola makin laju, negara-negara luar terutama Eropah mungkin tak nak main lagi.
“Mereka suka tengok rally panjang, bukan servis yang habis dalam satu pukulan,” katanya lagi.
Beliau mencadangkan agar ISTAF menilai semula cadangan berkenaan dan menumpukan kepada penambahbaikan aspek lain seperti peraturan dua sentuhan semasa bertahan.
“Lebih baik ISTAF baiki perkara yang menyukarkan pemain, contohnya bila bola laju dan pemain dikira dua sentuhan kalau kena kaki dan badan. Itu pun dah cukup rumit.
“Kalau betul nak tarik minat penonton antarabangsa, kekalkanlah keaslian sukan ni dan perkasakan teknik asal bukan ubah asas servis yang dah jadi identiti sepak takraw,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





