LUAR NEGARA

MUI seru Prabowo tarik indonesia keluar daripada Lembaga Keamanan Gaza

JAKARTA – Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyeru Presiden Prabowo Subianto supaya menarik Indonesia keluar keanggotaan negara itu daripada Lembaga Keamanan Gaza yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Seruan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Umum MUI, Cholil Nafis, melalui akaun media sosial X, kelmarin.

Cholil menegaskan, keputusan Indonesia menyertai gagasan itu dianggap tidak berpihak kepada rakyat Palestin.

Beliau menyoroti peranan Trump sebagai penggagas lembaga tersebut, serta kehadiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai anggota setara.

“Dalam lembaga berkenaan ada Netanyahu, yang jelas menjajah dan tidak ada negara Palestin,” kata Cholil dalam kenyataan berkenaan.

Selain itu, Cholil menekankan kejanggalan lain berkaitan penyertaan Indonesia, iaitu kewajipan sumbangan AS$1 bilion (RM4.05 bilion) bagi keanggotaan.

“Anehnya lagi, Indonesia masih ditarik bayaran keanggotaan. Baiknya Pak Prabowo menarik diri saja,” katanya lagi.

Indonesia secara rasmi menyertai Lembaga Keamanan berkenaan pada 22 Januari 2026, ketika Presiden Prabowo menandatangani piagam lembaga itu ketika hadir di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Sementara itu, Ketua MUI Bidang Hubungan Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa, Sudarnoto Abdul Hakim, menilai Lembaga Keamanan Trump sebagai bentuk neokolonialisme moden.

Menurutnya, isu Palestin bukan sekadar konflik biasa, tetapi masalah penjajahan, perampasan hak asas, pelanggaran undang-undang kemanusiaan, dan jenayah sistematik.

Sudarnoto menegaskan, MUI menolak ‘perdamaian retorik’ sebagaimana digariskan Trump kerana tidak berlandaskan keadilan dan tidak secara jelas mengiktiraf Palestin sebagai bangsa yang terjajah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button