BERITA SEMASAPOLITIK

Muhyiddin tegaskan masih Presiden BERSATU, seru ahli perkukuh perpaduan parti

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih menerajui kepimpinan parti itu sambil menyeru seluruh ahli agar memperkukuh kerjasama dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026, Muhyiddin menekankan kepentingan perpaduan dalaman parti sebagai asas utama untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan BERSATU.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menerajui kepimpinan BERSATU sebagai Presiden.

“Walaupun saya tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN), BERSATU kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah beliau, kerjasama dalam PN akan terus dipelihara demi memastikan kestabilan dan kekuatan gabungan politik berkenaan.

Menurut Muhyiddin, dalam situasi tertentu, parti perlu bersedia mengambil satu langkah ke belakang sebagai strategi jangka panjang, bukan sebagai tanda kelemahan.

“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut seluruh ahli BERSATU agar kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati dalam parti.

“Sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button