MPP UUM tolak keras Himpunan Turun Anwar, seru mahasiswa jadi pencorak solusi bukan pemarak konflik
SINTOK – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) tampil menyatakan pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya penglibatan dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di ibu negara.
Dalam satu kenyataan rasmi, MPP UUM menzahirkan penghargaan atas jemputan yang diberikan kepada mahasiswa universiti tersebut untuk menyertai himpunan berkenaan.
Bagaimanapun, badan kepimpinan pelajar itu dengan jelas menolak sebarang penglibatan dalam perhimpunan yang disifatkan mampu menggugat keharmonian serta kestabilan negara.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan dan merosakkan keharmonian negara,” tegas kenyataan itu.
Pada masa yang sama, MPP UUM turut menyatakan sokongan penuh terhadap prinsip demokrasi berperadaban, reformasi berfasa serta nilai-nilai Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut MPP UUM, sebarang ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan wajar disalurkan melalui mekanisme yang betul seperti rundingan, dialog polisi dan libat urus bersama pihak berwajib, bukan menerusi retorik provokatif yang boleh menjejaskan imej institusi pendidikan tinggi.
“Kami berpandangan bahawa budaya demokrasi perlu diamalkan secara beradab dan matang,” ujar kenyataan tersebut lagi.
Sebagai badan kepimpinan mahasiswa yang sah mengikut peruntukan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), MPP UUM menegaskan komitmennya untuk terus menjunjung agenda pembangunan negara melalui pendekatan inklusif dan progresif.
“Kami percaya bahawa membina sebuah negara tidak mengambil masa dua atau tiga tahun, tetapi untuk meruntuhkannya, sehari pun sudah memadai,” tambah kenyataan itu, sambil menyifatkan tindakan terburu-buru tanpa asas dan niat tulus hanya akan merencatkan proses pembaharuan dan mencetuskan ketidaktentuan.
Sehubungan itu, MPP UUM menyeru seluruh mahasiswa UUM agar tidak terpedaya dengan agenda mana-mana pihak yang boleh menggugat perpaduan nasional dan kestabilan politik.
“Mahasiswa adalah tunjang kepada masa depan negara. Maka sewajarnya kita menjadi pencorak solusi, bukan pemarak konflik,” menurut kenyataan MPP UUM itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








