BERITA SEMASADALAM NEGERI

Mohd Fuad Bee jadi anak jati pertama dilantik Pengarah SPRM Sabah

KOTA KINABALU – Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, dilantik sebagai Pengarah SPRM Sabah yang baharu menggantikan Datuk Karunanithy Y. Subbiah.

Dalam kenyataan yang dikongsikan SPRM, pelantikan Mohd Fuad akan berkuatkuasa pada 15 Ogos ini, manakala Karunanithy yang sudah enam tahun memegang jawatan itu akan bertukar ke Pulau Pinang.

Majlis serah terima tugas disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya di Auditorium Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, hari ini.

Pelantikan Mohd Fuad, yang merupakan anak jati Sabah, turut diyakini mampu memperkasakan lagi usaha pencegahan rasuah di negeri ini secara lebih agresif dan berstrategi.

Mengulas lanjut, Ahmad Khusairi menyifatkan Datuk Karunanithy sebagai pemimpin berwibawa yang telah berjaya memimpin pelbagai operasi besar sepanjang perkhidmatan beliau di Sabah.

“Beliau telah membina keyakinan rakyat terhadap SPRM melalui kepimpinan yang tegas dan strategik serta komitmen luar biasa menghadapi pelbagai cabaran sepanjang hampir enam tahun di Sabah,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan terakhirnya sebagai Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama sepanjang tempoh beliau memimpin agensi tersebut.

“Kejayaan SPRM Sabah dalam sektor operasi dan pencegahan adalah hasil jalinan kerjasama strategik daripada pelbagai jabatan Persekutuan dan Negeri serta rakan-rakan media.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah terutamanya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong yang sentiasa menyokong usaha SPRM dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Menurut beliau, sepanjang mengetuai SPRM Sabah sejak 17 September 2019, beliau berpegang kepada prinsip memperkukuh integriti dan budaya kerja profesional dalam kalangan warga agensi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Datuk Seri Dr. Haji Sabin Samitah, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button