Misi GSF: Semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan sihat dan selamat – Sani Araby
SEPANG – Semua delegasi Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel di Ashdod dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abd Alim Araby berkata, pihak ADALAH iaitu pusat undang-undang pertama yang dikendalikan oleh rakyat Arab Palestin di Israel yang bertindak sebagai wakil legal dan perunding bagi pihak Malaysia, telah berjaya berhubung dengan semua delegasi di Ashdod.
“Kesemua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat. Keluarga mereka telah dijemput ke SNCC petang tadi bagi sesi taklimat dan penerangan mengenai perkembangan terkini.
“Dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penaung Sumud Nusantara serta sokongan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, kami menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam akan datang,” kata beliau pada sidang media khas perkembangan terkini misi membawa pulang sukarelawan rakyat Malaysia yang menyertai GSF.
Tambah Sani, SNCC menegaskan pemantauan berterusan dijalankan untuk memastikan keselamatan delegasi dan kelancaran proses evakuasi, di samping menyediakan maklumat terkini kepada keluarga mereka.
Terdahulu, seramai 23 daripada 34 rakyat Malaysia yang mengikuti misi kemanusiaan GSF belayar ke Gaza untuk memecah kepungan rejim Zionis telah ditahan Tentera Pendudukan Israel (IOF).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








