BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF perkenal Program IA-ATM bantu kanak-kanak autisme

LUMUT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) sebagai inisiatif baharu dalam usaha memperkasa kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme dalam kalangan warga kerja pertahanan.

Menurut MINDEF, IA-ATM dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan National Autism Society of Malaysia, selain dibiayai oleh Lembaga Tabung Haji sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Program ini memfokuskan kepada kanak-kanak autisme dalam kalangan anak warga kerja pertahanan berusia antara tiga hingga 15 tahun, khususnya yang berada di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Antara objektif IA-ATM adalah untuk mendengar serta mendapatkan input mengenai keperluan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme daripada ibu bapa dan guru, di samping mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial ke atas golongan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, program IA-ATM dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Menurut MINDEF lagi, IA-ATM turut membina jaringan kerjasama antara MINDEF dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyediakan kemudahan, bimbingan dan bantuan yang diperlukan.

Sebagai permulaan, IA-ATM dilaksanakan di PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut, Perak bermula 14 Julai 2025 hingga 7 Mei ini serta di PPDK Umi Kem Terendak, Melaka dari 4 Ogos 2025 hingga 4 Jun ini.

“Seramai 10 kanak-kanak autisme di setiap PPDK terlibat dalam sesi pelajaran-terapi yang merangkumi 12 modul baharu yang direka khusus oleh pihak NASOM bagi program berkenaan.

“Inisiatif tersebut bukan sahaja menyokong kanak-kanak berkeperluan khas (KBK), malah memberi penekanan kepada keupayaan mereka mengembangkan bakat dan potensi diri agar mampu mencapai potensi penuh serta diintegrasikan dalam masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, MINDEF memaklumkan IA-ATM turut membuka ruang kepada tenaga pengajar meneroka kaedah dan modul pengajaran baharu yang bersesuaian mengikut kecenderungan dan potensi murid.

“Usaha ini juga menyokong inisiatif memperkukuh kerjasama antara ATM dengan agensi awam serta pihak swasta menerusi pendekatan Civil Military Corporation (CIMIC),” tambah MINDEF.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button