KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Meta gagal banteras jenayah dalam talian – Fahmi

PUTRAJAYA – Syarikat teknologi Meta gagal mengekang aktiviti jenayah dalam talian khususnya di platform Facebook meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat bersama Meta yang diadakan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Beliau berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada isu kritikal membabitkan judi dalam talian, penipuan (scam), penyebaran berita palsu, kandungan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) serta penjualan produk terlarang termasuk cecair rokok elektronik mengandungi dadah.

“Sehingga 19 September lalu, sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dibuat kepada Meta bagi platform Facebook sahaja, yang mewakili 59 peratus daripada keseluruhan aduan di semua platform media sosial.

“Daripada jumlah itu, 120,127 permohonan melibatkan judi dalam talian tetapi hanya 114,665 kandungan diturunkan manakala bagi aktiviti penipuan, sebanyak 37,722 permohonan dibuat namun hanya 36,918 kandungan berjaya diturunkan. Baki kandungan yang masih kekal menimbulkan kebimbangan serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp dari 2023 hingga Ogos lalu mencatat kerugian lebih RM248 juta membabitkan 18,128 kes.

Menurut Fahmi, angka tersebut membuktikan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membanteras jenayah siber yang semakin meningkat.

“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan digital. Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib bertanggungjawab memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang segera diturunkan,” tegasnya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan juga menggesa Meta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan termasuk penggunaan MyKad atau MyDigital ID bagi menghalang pengguna bawah umur daripada membuka akaun.

“Kementerian Komunikasi bersama agensi penguat kuasa akan terus memperkukuh pemantauan serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama Meta tidak dipertingkatkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button