BERITA SEMASA

Melody Kindyland dilantik kendali Kinderhub MCMC, sokong keperluan jagaan kanak-kanak tenaga kerja

CYBERJAYA — Pelantikan Melody Kindyland bagi mengendalikan Kinderhub, pusat jagaan kanak-kanak untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mencerminkan perubahan pendekatan organisasi yang kini melihat kemudahan jagaan kanak-kanak sebagai keperluan infrastruktur tenaga kerja dan bukan sekadar inisiatif kebajikan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Melody Kindyland, Samuel Swea berkata, akses kepada pusat jagaan berkualiti memberi kesan langsung terhadap penyertaan tenaga kerja dan tahap komitmen pekerja.

Beliau menekankan operasi pusat jagaan dalam persekitaran korporat memerlukan piawaian tadbir urus dan ketelusan yang tinggi, sejajar dengan keperluan organisasi berskala besar.

“Sebelum ini, pusat jagaan korporat di Malaysia agak terhad disebabkan kos tinggi dan pentadbiran kompleks, namun persaingan mendapatkan bakat mahir, terutama dalam sektor digital dan profesional, mendorong majikan menilai semula sokongan yang boleh meningkatkan pengekalan tenaga kerja dan kedudukan mereka sebagai majikan pilihan.

“Bagi ibu bapa yang bekerja, kemudahan jagaan anak yang selamat dan boleh dipercayai sering menjadi faktor utama dalam menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan keluarga.

“Justeru, penyediaan pusat jagaan oleh majikan kini dilihat sebagai strategi penting pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan.

kinderhub
Fahmi (kiri) merasmikan Kinderhub MCMC di bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya baru-baru ini.

Berbeza dengan prasekolah kawasan perumahan, Swea berkata, pusat jagaan korporat perlu disepadukan dengan sistem keselamatan pejabat, garis panduan tadbir urus dan struktur pelaporan dalaman, yang menuntut kawalan dalaman rapi.

Beliau menjelaskan, Melody Kindyland bertanggungjawab dalam perancangan pusat jagaan, penyelarasan pematuhan piawaian, pengambilan tenaga pengajar serta pemantauan operasi harian.

“Adaptasi dalam persekitaran korporat memerlukan dokumentasi menyeluruh dan pengukuhan sistem kawalan dalaman bagi memastikan tadbir urus yang cekap dan telus.

“Organisasi besar memerlukan ketelusan dari segi kos dan akauntabiliti. Kami sentiasa memperkemas dan menambah baik proses dalaman bagi memenuhi jangkaan tersebut,” jelas Swea.

Dalam pada itu, dengan rangkaian pusat di seluruh negara, Swea percaya Melody Kindyland dapat memperluaskan model ini ke negeri lain, dengan penyeragaman standard kurikulum dan latihan guru menjadi aspek penting untuk memastikan mutu pendidikan kekal konsisten.

Dari perspektif perniagaan, Swea berkata, pusat jagaan anak majikan yang tersusun berkait rapat dengan kadar pengekalan pekerja yang lebih baik serta peningkatan kembali bekerja selepas cuti bersalin atau cuti ibu bapa.

“Projek MCMC menjadi rujukan kepada perubahan ini, sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju ekonomi digital berkemahiran tinggi,” katanya sambil menambah segmen tersebut kini dilihat sebagai pelaburan strategik untuk kelestarian jangka panjang organisasi.

Baca juga : MCMC perkenal KinderHub, perkasa kebajikan warga kerja

Sebagai rekod, Melody Kindyland ditubuhkan pada 1992 di Pulau Pinang, Melody Kindyland kini mengendalikan 20 pusat di seluruh negara dengan lebih 300 tenaga pendidik profesional.

Sejak 2017, institusi ini diiktiraf sebagai Cambridge Beacon Kindergarten, menekankan komitmen menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan mampu milik bagi kanak-kanak di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button