BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Melaka Showcase 2025 buka laluan usahawan tembusi rangkaian runcit nasional

KUALA LUMPUR – Melaka Showcase 2025 yang memasuki hari kedua penganjurannya hari ini terus menyerlahkan usaha merancakkan ekonomi usahawan kecil menerusi gabungan inovasi perniagaan dan identiti budaya negeri itu.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman berkata, pengeluar kecil kini perlu bergerak pantas dalam pasaran yang semakin dipacu persaingan dan perubahan trend pengguna.

Justeru, katanya, platform seperti Melaka Showcase berperanan merapatkan jurang antara usahawan dan peruncit sambil memperkukuh strategi penjenamaan berasaskan warisan tempatan.

“Minat peruncit terhadap produk negeri yang mempunyai identiti budaya jelas memberikan kelebihan kompetitif dalam pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zulfikri melakukan tinjauan mesra menyantuni usahawan yang menyertai program tiga hari di Medan MARA, membabitkan 43 usahawan dengan 51 ruang pameran merangkumi produk makanan, gaya hidup dan perkhidmatan.

Selain pelancaran produk baharu, acara anjuran MARA Negeri Melaka turut menampilkan persembahan tradisional dan demonstrasi masakan sebagai usaha mengangkat warisan Melaka serta meningkatkan tarikan produk kepada pengguna.

Fokus utama Melaka Showcase tahun ini adalah memperkukuh ekonomi usahawan melalui sesi padanan perniagaan bersama peruncit utama seperti MYDIN, AEON, Lotus’s, Mesra PETRONAS dan FAMA, sekali gus membuka laluan lebih luas untuk menembusi rangkaian runcit nasional.

Melaka Showcase 2025 diadakan bermula semalam hingga esok dengan waktu operasi dari pukul 7.30 pagi hingga 10.30 malam di Medan MARA, Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button