AUTOMOTIF & TEKNOLOGIRENCANA

MDX 2025: Pacu masa depan ekonomi digital Malaysia

PENGANJURAN Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 bukan sahaja menjadi platform pameran teknologi malah membuka ruang perbincangan meluas tentang masa depan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) negara.

Bagi pengunjung, acara itu memberi gambaran jelas mengenai arah tuju teknologi semasa.

MDX 2025
Gobind (belakang, tengah) bersama wakil daripada 13 syarikat penerima MDAG-AI pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak MDX 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre, kelmarin.

“Menarik dari segi teknologi semasa sebab sekarang semua benda ke arah AI. Dari sektor pekerjaan mungkin ada yang terjejas, tapi program sebegini boleh update trend sekarang.

“Selain itu, ia juga mampu memanfaatkan teknologi untuk pelbagai bidang termasuk pertanian, perubatan dan bisnes,” kata pelajar Universiti Putra Malaysia, Irfan Hakimie Mohd Zaki, 25.

Irfan Hakimie

Rakannya, Mohd Rasyiq Ikmal Jamaluddin, 25, yang bekerja dalam bidang mekatronik turut melihat penganjuran itu sebagai peluang untuk menghubungkan inovasi dengan keperluan industri.

“Bagus sebab acara ini memberi maklumat kepada orang ramai tentang perkembangan teknologi.

“Kami minat bidang pertanian, jadi pameran seperti booth Malaysian Pal Oil Board (MPOB) contohnya memang bermanfaat. Kalau ada start up bisnes yang berminat, ia boleh dikembangkan,” katanya.

Rasyiq Ikmal

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo pula berkata, kerajaan optimis sumbangan ekonomi digital mampu mencapai 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.

Menurutnya, sasaran jangka pendek pula adalah 25.5 peratus pada tahun ini, selaras dengan hala tuju yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apabila kita bercakap tentang membina negara AI, kita telah mengambil langkah nyata dengan memanfaatkan infrastruktur dan teknologi sedia ada.

“Hari ini banyak industri sudah menggunakan penyelesaian AI dan kita akan mempercepatkan penggunaannya dari semasa ke semasa.

“Saya fikir sasaran (25.5%) itu boleh dicapai. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh kementerian, tetapi yang penting, kita komited untuk melaksanakannya,” katanya selepas melancarkan SmartGov Malaysia Summit 2025 dan MDX 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin.

Industri digital dan teknologi AI semakin berkembang pesat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Gobind turut menekankan bahawa Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan berkaitan ekonomi digital, sekali gus membina ekosistem kukuh untuk mendepani cabaran teknologi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Anuar Fariz Fadzil pula berkongsi, MDX 2025 bukan sekadar pameran teknologi, tetapi platform tindakan yang menyatukan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan pembuat dasar.

“Dengan rangkaian 5G seluruh negara dan ekosistem Digital Malaysia yang merangkumi penyelesaian, bakat serta infrastruktur, kita menegaskan komitmen terhadap keterangkuman, ketahanan dan kelestarian dalam ekonomi digital,” ujarnya.

Sidang kemuncak selama tiga hari yang berlangsung pada 17 hingga 19 September itu bertemakan Catalysing Malaysia’s Trillion-Dollar Digital Future.

MDX 2025
Salah satu segmen bual bicara Agentic AI: From Hype To Real-World Impact yang diadakan sempena penganjuran MDX 2025.

Ia turut menyaksikan penyampaian Geran Pecutan Digital Malaysia – Kecerdasan Buatan (MDAG-AI) kepada 13 syarikat penerima.

Geran tersebut bertujuan mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian dipacu AI dengan potensi pengkomersialan tinggi, membiayai sehingga 70 peratus kos projek dengan had maksimum RM2 juta untuk tempoh setahun.

Penganjuran MDX 2025 bersama SmartGov Malaysia dan Smart City Expo Kuala Lumpur mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital dipercayai di ASEAN, dengan sasaran mencetuskan masa depan ekonomi bernilai trilion dolar.

Dengan keyakinan kerajaan serta sokongan pelbagai pihak, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang pesat dan menjadi salah satu pemacu utama pertumbuhan negara dalam dekad akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button