BERITA SEMASA

MCMC: Platform media sosial, pemesejan internet lebih 8 juta pengguna dianggap berdaftar mulai 1 Jan 2026

CYBERJAYA – Semua platform media sosial dan pemesejan internet yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia akan dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP) mulai 1 Januari 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, semua platform tersebut tertakluk kepada undang-undang serta rangka kerja kawal selia tempatan.

Langkah itu, kata MCMC, bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.

Platform yang memenuhi kriteria tersebut termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

“Langkah ini memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam rangka perundangan dan kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.

“Pendekatan ini juga selaras dengan rangka kerja pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, bagi memperkukuh akauntabiliti dan pematuhan kepada undang-undang Malaysia,” kata kenyataan itu, hari ini.

Proses pendaftaran tersebut dilaksanakan melalui pengecualian formaliti di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia (Peruntukan Anggapan).

“Penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada mereka tamat.

“Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus mengendalikan platform global mereka seperti biasa.

“Pendekatan ini selaras dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.”

MCMC turut memaklumkan, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan lain bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Peruntukan Anggapan boleh didapati di laman sesawang MCMC.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button