MB Perlis baharu angkat sumpah hari ini?
KANGAR – Jawatan Menteri Besar Perlis yang kosong setelah perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli dari PAS sejak Khamis lepas, dijangka akan diisi hari ini.
Difahamkan, istiadat angkat sumpah dijangka berlangsung hari ini di Istana Arau di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Menurut sumber, antara nama disebut-sebut berpotensi menggantikan Mohd Shukri adalah EXCO Kanan, Muhammad Azmir Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan dari PAS.
Selain itu, ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah turut disebut berdasarkan prestasi cemerlang sebagai EXCO kerajaan negeri sebelum ini.
Khamis lalu, Mohd Shukri mengumumkan meletak jawatan Menteri Besar dan menyatakan pengundurannya itu atas sebab masalah kesihatan.
Terdahulu, media melaporkan ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) Perlis didakwa bertemu Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Berikutan itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan media pada Rabu lalu, mengumumkan keahlian parti ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim terhenti serta merta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







