Mayat kanak-kanak ditanam di Rompin: Bapa direman disyaki buat laporan palsu
ISKANDAR PUTERI – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Bukit Indah, di sini, terbongkar apabila polis menemukan mayat mangsa dalam keadaan tertanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.
Susulan penemuan mengejutkan itu, bapa mangsa yang berusia 36 tahun kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, selepas disyaki membuat laporan palsu berhubung kehilangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, lelaki tempatan berkenaan sebelum ini hadir membuat laporan polis pada pukul 2.15 pagi, Khamis lalu dengan mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan bersendirian di dalam kereta pada pukul 6 petang di kawasan Bukit Indah, kononnya ketika dia keluar membeli makanan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat keraguan terhadap laporan tersebut, lalu polis menahan lelaki terbabit pada hari sama.
“Mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama tujuh hari hingga 31 Julai ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, tindakan susulan membawa kepada penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang dipercayai mangsa di kawasan Rompin, Jempol, petang semalam.
Katanya lagi, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing turut mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan menganiaya, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan fizikal atau emosi.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Jelas Kumarasan, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan berhubung laporan palsu kehilangan yang dibuat lelaki itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerima maklumat berhubung penemuan mayat kanak-kanak terbabit pada pukul 4.30 petang semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








