BERITA SEMASALUAR NEGARASUKAN

Manny Pacquiao beri bayangan adakan pertarungan semula dengan Floyd Mayweather

MANILA – Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao memberi bayangan bakal berdepan semula dengan Floyd Mayweather Jr. dalam perlawanan ulangan yang dijangka berlangsung tahun depan.

Manny berkata, terdapat banyak rundingan mengenai pertarungan beliau yang seterusnya dan terdapat kemungkinan untuk perlawanan semula dengan Floyd Mayweather.

“Rundingan masih berjalan, jadi sukar untuk saya tetapkan siapa lawan seterusnya. Saya menunggu keputusan akhir,” kata Pacquiao, yang pernah bergelar juara dunia dalam lapan divisyen daripada kelas flyweight hingga super welterweight.

Pacquiao kembali dari persaraan Julai lalu dan hampir merangkul semula kejuaraan dunia pada usia 46 tahun, namun tewas apabila Mario Barrios berjaya mengekalkan kejuaraan WBC welterweight selepas keputusan seri majoriti.

Pacquiao bersara kali pertama pada 2021 dengan rekod 62 kemenangan, lapan kekalahan dan dua seri termasuk 39 kemenangan knockout (KO).

Selain cemerlang dalam sukan, beliau turut berkhidmat sebagai Senator Filipina dari 2016 hingga 2022.

Pacquiao sebelum ini tewas kepada Mayweather pada 2015 dalam pertarungan yang digelar “Fight of the Century”, namun kemudian mendedahkan beliau mengalami kecederaan bahu semasa perlawanan tersebut.

“Saya mahu sekali lagi berlawan dengan Floyd Mayweather. Saya harap rundingan kali ini berjalan baik dan kami dapat mencapai kata sepakat,” katanya.

Mayweather, 48, turut dijangka sibuk tahun depan selepas CSI Sports mengumumkan satu pertarungan eksibisi antara Mayweather dan Mike Tyson akan diadakan pada 2026, walaupun tarikh dan lokasi masih belum dimuktamadkan.

Sementara itu, Pacquiao kini memberi tumpuan kepada generasi baharu apabila anaknya, Jimuel Pacquiao, bakal membuat debut profesional menentang Brendan Lally dari Amerika Syarikat pada 29 November di California.

“Saya teruja tetapi dalam masa sama risau tentang anak saya. Dia bermula agak lewat… namun itu minatnya, jadi saya akan sentiasa menyokongnya. Saya berdoa agar dia bertarung dengan selamat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button