BERITA SEMASASUKAN

Mayweather–Pacquiao gegar semula Las Vegas September ini

LAS VEGAS – Selepas 11 tahun, dua legenda tinju dunia, Floyd Mayweather Jr. dan Manny Pacquiao disahkan bakal bertemu dalam pertarungan ulangan berprofil tinggi pada 19 September depan di Sphere, Las Vegas.

Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Netflix yang memaklumkan perlawanan berkenaan akan disiarkan secara langsung ke seluruh dunia menerusi platform penstriman berkenaan, sekali gus menandakan langkah agresif syarikat itu dalam penganjuran acara sukan berskala mega.

Pertembungan tersebut menyaksikan dua ikon yang pernah mencipta fenomena global pada 2015 kembali beradu, kali ini ketika kedua-duanya menghampiri usia lewat 40-an.

Pertarungan itu diumumkan hanya beberapa hari selepas Mayweather mengesahkan hasratnya keluar daripada persaraan untuk kembali ke pentas profesional.

Mayweather yang menamatkan karier profesionalnya pada 2017 dengan rekod sempurna 50 kemenangan tanpa kalah, bagaimanapun masih aktif dalam beberapa pertarungan pertunjukan.

Pacquiao pula pernah menggantung sarung tangan selama empat tahun bermula 2021 bagi memberi tumpuan kepada arena politik Filipina sebelum kembali beraksi tahun lalu dan mencatat keputusan seri menentang Mario Barrios di Las Vegas.

Spekulasi mengenai aksi ulangan ini sebenarnya sudah lama berlegar selepas Mayweather memberi bayangan jelas bahawa beliau akan kembali bertarung secara kompetitif tahun ini.

Pertarungan berkenaan juga mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi perlawanan tinju profesional pertama dianjurkan di Sphere, lokasi futuristik yang sebelum ini terkenal sebagai pentas konsert dan tayangan visual imersif sejak dibuka pada 2023.

Pacquiao menegaskan misinya jelas untuk membalas kekalahan lalu.

“Saya mahu Floyd hidup dengan satu kekalahan dalam rekod profesionalnya dan sentiasa ingat siapa yang memberikannya.

“Seperti biasa, saya dedikasikan pertarungan ini kepada rakyat Filipina di seluruh dunia dan untuk membawa kegemilangan kepada Filipina,” katanya.

Mayweather pula kekal yakin sejarah akan berulang.

“Saya sudah pernah bertarung dan menewaskan Manny sebelum ini. Kali ini keputusannya akan tetap sama.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button