
Malaysia-Thailand komited perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu dalam pertahanan
BANGKOK – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai di Kementerian Pertahanan Thailand di sini hari ini sempena lawatan kerja rasminya ke negara itu.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan diplomatik yang baik, sama ada secara dua hala mahupun melalui platform seperti ASEAN.
“Kedua-dua negara komited untuk terus memperkukuh hubungan sedia ada dan akan meneroka peluang kerjasama baharu, termasuklah dalam konteks pertahanan.
“Malaysia menghargai komitmen dan persetujuan Thailand untuk terus membawa hubungan pertahanan antara keduanya ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini termasuklah melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam kerjasama bidang pertahanan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu katanya, Malaysia mengakui bahawa platform seperti Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thailand yang memasuki edisi ke-56 merupakan usaha yang baik dalam pengukuhan kerjasama berkenaan keselamatan sempadan, operasi bersama serta inisiatif pembangunan sosio-ekonomi dan pengurusan bencana.
Sementara itu katanya, beliau turut memanjangkan jemputan kepada Phumtham ke LIMA’25 dan dua acara sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini, iaitu Retreat Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan dan Mesyuarat ADMM.
Katanya, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand.

Pada masa sama berharap Thailand dapat memanfaatkan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) dalam usaha pembangunan kapasti dan mempertingkat diplomasi pertahanan Malaysia-Thailand.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








