BERITA SEMASA

Malaysia-Thailand puas hati kerjasama pasukan pertahanan kedua-dua negara tangani cabaran keselamatan sempadan

BANGKOK – Malaysia dan Thailand berpuas hati dengan dengan kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa-jawatankuasa di bawah kerangka Jawatankuasa Am Sempadan (GBC).

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, ia termasuk usaha memperkukuh kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan sempadan yang dikongsi bersama kedua-dua negara.

“Jawatankuasa ini ditubuhkan berikutan termeterainya Perjanjian Persempadanan Am pada tahun 1964 dan ia berfungsi sebagai platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan antara kedua-dua negara.

“Tiga jawatankuasa utama yang beroperasi di bawah struktur GBC ialah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama Thailand-Malaysia (THAMAL JCEC).

“Semasa mesyuarat GBC Malayaia Thailand (MALTHAI), kedua-dua menteri berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa-jawatankuasa di bawah kerangka GBC, termasuklah dalam memperkukuh kerjasama antara ATM dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan sempadan yang dikongsi bersama kedua-dua negara,” katanya hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Thailand dari 28 hingga 30 Januari.

Sebelum menghadiri mesyuarat GBC, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai di Kementerian Pertahanan Thailand.

Katanya, perbincangan kedua-dua pemimpin tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau serta memajukan mekanisme keselamatan sedia ada di peringkat dua hala dan pelbagai hala.

Mengulas lanjut katanya, bersempena Malaysia yang kini menerajui Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025, beliau turut menjemput Phumtham untuk menyertai Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 25 hingga 27 Februari 2025.

Katanya, ADMM dan ADMM Plus pula akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 21 November 2025

“Lawatan sulung oleh Menteri Pertahanan ke Thailand ini bukan sahaja mencerminkan keakraban hubungan strategik Malaysia-Thailand dalam pengurusan sempadan, tetapi juga memperkukuh komitmen kedua-dua negara dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,”katanya.

Turut hadir dalam delegasi Malaysia adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Hadir sama, pengurusan tertinggi daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button