BERITA SEMASA

Mahsuri & FIM lancar pusingan ketiga Program Chef Muda, 10 belia terima biasiswa kulinari

PETALING JAYA – Seramai 10 belia daripada keluarga kurang berkemampuan terpilih menerima biasiswa di bawah Program Chef Muda Mahsuri yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Program anjuran Mahsuri Dagang Sdn Bhd dengan kerjasama Food Institute of Malaysia (FIM) serta Lembaga Zakat Selangor itu bertujuan memperkasakan generasi muda Malaysia melalui pendidikan kulinari dan peluang kerjaya.

Penerima biasiswa tahun ini akan memulakan pengajian kulinari intensif di FIM pada awal September di bawah bimbingan chef berpengalaman.

Selesai pengajian, mereka bakal menjalani penempatan kerja selama tiga bulan di dua restoran terkemuka, Chakz dan Pac and Cap bagi memberi pendedahan industri sebenar.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program itu bukan sekadar menawarkan biasiswa, tetapi juga membimbing bakat muda agar mampu menyumbang kepada industri makanan tempatan.

“Kami percaya peluang ini benar-benar mampu mengubah kehidupan. Program Chef Muda Mahsuri mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam memperkasakan komuniti serta membantu belia kurang berkemampuan mencapai potensi mereka,” katanya.

Sementara itu, Penasihat FIM, Master Chef Moh Johari Edrus, menyifatkan program tersebut sebagai platform penting buat anak muda yang ingin menceburi kerjaya kulinari.

“Industri F&B sangat dinamik dan menawarkan banyak peluang. Dengan menghubungkan pendidikan kepada pekerjaan, kita dapat melahirkan graduan berkeyakinan dan bersedia menempuh dunia kerja,” ujarnya.

Sejak diperkenalkan pada Julai 2023, program ini telah melahirkan lima graduan pada pusingan pertama dan 10 peserta pada 2024.

Dengan pelancaran pusingan ketiga, Mahsuri dan FIM terus komited melahirkan bakat baharu serta memperkukuh identiti kulinari Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai Program Chef Muda Mahsuri boleh didapati di www.mahsurifood.com.my

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button