Agong kurnia Biasiswa YDPA kepada 14 pelajar cemerlang
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kepada 14 pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang strategik di institusi pengajian tinggi tempatan serta luar negara.
Majlis penganugerahan biasiswa paling berprestij di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu berlangsung di Istana Negara hari ini dan disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim, baginda berkenan mengurniakan biasiswa kepada tujuh penerima bagi pengajian peringkat PhD dan tujuh lagi di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
Daripada jumlah tersebut, empat penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara termasuk di United Kingdom, manakala 10 penerima lagi akan meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Jamalulail Abu Bakar serta pegawai kanan kerajaan.
Penerima BYDPA peringkat PhD ialah Afiefah Zulkifli (Universiti Putra Malaysia (UPM) – Pemakanan); Aiman Zakuan Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – Farmakologi dan Farmasi);; Chua Hui Qi (UPM – Matematik dan Statistik); Giroon Ijod (UPM – Pemakanan), Haimon Franklin (UKM – Biologi); Lee Yu Shi (Universiti Malaya – Catalysis) dan Waywen Loh Chang Yuan yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Imunologi di University of Oxford, United Kingdom.
Bagi peringkat Sarjana (Penyelidikan), penerimanya ialah Fatini Amirul Haziq Azwan (University College London – Biologi); Chan Ler Yi (University College London – Farmakologi dan Farmasi); Chris Ee Jia Wen (Universiti Sains Malaysia – Genetik dan Keturunan); Mohamad Izuwansah Ishak (UPM – Persekitaran); Muhammad Zulhusni Che Razali (Imperial College London – Persekitaran) dan Puteri Najihah Athirah Zamrifana (UPM – Sains Veterinar).
BYDPA diperkenalkan pada 2006 sebagai pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa bukan sahaja dalam akademik, malah aktif dalam kegiatan kokurikulum, kemasyarakatan serta penghasilan karya berteraskan kreativiti dan inovasi.
Sejak diperkenalkan hampir dua dekad lalu, seramai 239 individu telah menerima tajaan BYDPA, membabitkan 124 penerima di peringkat PhD dan 115 penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
Program penajaan berprestij itu dilihat sebagai antara pelaburan strategik kerajaan dalam pembangunan modal insan negara bagi melahirkan lebih ramai pakar bertaraf global dalam bidang kritikal seperti sains kesihatan, teknologi, alam sekitar, matematik, bioperubatan dan penyelidikan saintifik yang mampu menyokong agenda pembangunan negara pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








