LUAR NEGARA

Lupa pasang alat keselamatan, wanita maut terjatuh dalam aktiviti terjun tali

SAO PAULO – Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter ketika menyertai aktiviti terjun tali di sebuah jambatan di negeri Sao Paulo, Brazil, dipercayai akibat kegagalan memasang peralatan keselamatan dengan sempurna.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kejadian tragis itu berlaku semalam di Jambatan Ponte do Esqueleto di bandar Limeira, apabila mangsa dilepaskan dari platform lompatan tanpa tali keselamatan dipasang.

Menurut pihak berkuasa tempatan, siasatan awal mendapati berlaku kecuaian dalam prosedur keselamatan apabila jurulatih atau petugas yang mengendalikan aktiviti tersebut gagal memastikan peralatan keselamatan dipasang sebelum lompatan dilakukan.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan mangsa dibawa ke lokasi lompatan sebelum dilepaskan dari platform berkenaan.

Beberapa saat kemudian, suasana bertukar cemas apabila orang ramai menyedari tali keselamatan tidak dipasang pada tubuh mangsa.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami selepas terhempas ke tanah.

Susulan insiden itu, pihak berkuasa melancarkan operasi bagi mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam pengendalian aktiviti berkenaan.

Menurut laporan, dua suspek cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran selepas kejadian, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.

Setakat ini, enam individu telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan berhubung kemungkinan berlaku kecuaian yang menyebabkan kematian mangsa.

Pasukan bomba dan petugas perubatan kecemasan yang dikejarkan ke lokasi tidak dapat menyelamatkan wanita tersebut kerana beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button