LUAR NEGARA

Ancaman bom: Pesawat Saudia Airlines bawa jemaah haji mendarat cemas

MEDAN – Sebuah pesawat milik Saudia Airlines yang membawa 442 jemaah haji dari Jeddah ke Jakarta terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, di sini hari ini susulan ancaman bom yang diterima semasa penerbangan.

Menurut kenyataan pihak berkuasa penerbangan Indonesia, pesawat SV5726 itu diarahkan mendarat sekitar jam 10.44 pagi waktu tempatan selepas juruterbang dimaklumkan mengenai satu e-mel yang menyatakan terdapat bom di dalam pesawat.

Pesawat tersebut membawa 207 jemaah lelaki dan 235 jemaah wanita warga Indonesia yang baru selesai menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat dan telah dipindahkan ke kawasan khas yang disediakan pihak lapangan terbang.

Ketua Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Hendra Irawan berkata, tindakan segera diambil setelah menerima notis dari pihak Saudia Airlines dan Angkasa Pura II mengenai ancaman tersebut.

“Pasukan pemusnah bom dari Unit Brimob telah digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan rapi terhadap pesawat.

“Operasi berjalan dengan lancar dan semua protokol keselamatan diaktifkan,” katanya memetik laporan Jakarta Post.

Pusat Operasi Kecemasan turut diaktifkan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan Kualanamu untuk menyelaraskan semua tindakan bersama agensi-agensi keselamatan dan pengurusan lapangan terbang.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar ancaman dan pihak berkuasa sedang meneliti kandungan e-mel yang dihantar kepada pengendali penerbangan.

Setakat ini, tiada bahan letupan ditemui di dalam pesawat.

Penerbangan pesawat tersebut kemudian disambung semula selepas keadaan disahkan benar-benar selamat oleh pihak keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button