LHDN tumpaskan kartel jual beli kenderaan mewah, siasat ketirisan cukai RM70 juta
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggempur sebuah rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah yang disyaki melibatkan ketidakpatuhan cukai bernilai puluhan juta ringgit.
Menurut kenyataan LHDN, operasi itu menandakan tindakan agresif kerajaan membanteras sindiket yang merugikan hasil negara sejak sekian lama.
“Dalam operasi penguatkuasaan serentak di tiga lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit, LHDN menjalankan penggeledahan bagi memperoleh dokumen serta bahan bukti berkaitan aktiviti pelarian cukai.
“Siasatan awal mengesan syarikat tersebut gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan kenderaan mewah dengan jumlah anggaran sekitar RM70 juta,” menurut kenyataan LHDN, hari ini.
Susulan itu, siasatan dijalankan di bawah subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap syarikat berkenaan, manakala pengarahnya disiasat mengikut perenggan 113(1)(a) akta sama.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan operasi tersebut.
Menurut beliau, tindakan itu adalah sebahagian daripada operasi bersasar LHDN untuk memperkukuh pematuhan cukai khususnya dalam sektor berisiko tinggi yang melibatkan transaksi bernilai besar seperti kenderaan mewah.
“Ketidakpatuhan berskala besar bukan sahaja merencatkan hasil negara, malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
LHDN menegaskan pihaknya sedang dan akan meneruskan tindakan pendakwaan terhadap pelbagai kes pelarian cukai lain.
Ia termasuklah yang melibatkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan bagi menutup transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram serta perniagaan warga asing yang gagal melaporkan pendapatan.
Agensi itu turut menekankan komitmen berterusan untuk mengekang ketirisan hasil negara dan memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai demi kesejahteraan negara dan rakyat.
Untuk maklumat atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau menerusi Live Chat dan Borang Maklum Balas yang tersedia di portal rasmi LHDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







