BERITA SEMASA

Lembu ditembak tidak diagih kepada penerima korban – MB Perlis

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegaskan lembu yang ditembak selepas mengamuk dalam Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis baru-baru ini tidak diagihkan kepada penerima daging korban bagi mengelakkan timbul sebarang polemik.

Menurut beliau, haiwan berkenaan diasingkan daripada agihan rasmi kerana bimbang timbul salah faham dalam kalangan masyarakat susulan insiden itu yang tular di media sosial.

lembu
Insiden tembakan lembu korban tersebut tular di media sosial baru-baru ini. 

Katanya, kejadian membabitkan lembu korban bernombor 22 daripada keseluruhan 25 ekor lembu yang disediakan dalam program berkenaan.

“Bila saya balik, mereka telefon kata, ‘tolong bos, ada lembu terlepas dan mula mengamuk’. Jadi saya turun semula ke lokasi.

“Sebelum tindakan (melepaskan tembakan) itu dibuat, saya pastikan kawasan itu selamat dan orang ramai tidak berada di kawasan tersebut,” katanya secara eksklusif kepada Buletin TV3 di kediaman rasminya, semalam.

Abu Bakar berkata, beliau merupakan pemegang lesen sah bagi senjata api yang digunakan dan yakin mampu mengendalikannya dengan baik ketika situasi cemas tersebut.

Mengulas mengenai agihan daging, beliau menjelaskan lembu yang ditembak itu tidak dimasukkan dalam senarai penerima kupon korban, sebaliknya diagihkan kepada petugas program sahaja.

“Tapi yang tembak itu kita asingkan, nanti kita takut perkara-perkara lain, orang mungkin kata lembu yang ditembak itu lembu korban.

“Yang itu kita agihkan kepada pekerja-pekerja. Agihan yang ditembak itu kita tak masukkan dalam senarai yang kita bagi kupon kepada penerima daging,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) khusus diwujudkan bagi menangani kejadian haiwan korban mengamuk pada masa depan demi keselamatan orang ramai dan petugas.

Terdahulu, polis mengesahkan merampas selaras senapang dan sembilan butir peluru dipercayai digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button