Lelaki maut ditetak, tangan adik perempuan hampir putus
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tetakan manakala tangan adik perempuannya hampir putus dalam satu kejadian di hadapan rumah mereka di Taman Kempas di sini pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an ditemukan berlumuran darah dan dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditetak berulang kali menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis turut menemui beberapa senjata di lokasi kejadian yang kemudian dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, adik perempuan mangsa yang berada di tempat kejadian turut cedera parah apabila tangannya hampir putus dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan tidak melibatkan faktor mabuk.
“Kita juga sedang menyiasat hubungan antara mangsa dengan penyerang yang dipercayai tinggal di kawasan perumahan sama,” katanya lagi.
Tambah beliau, polis telah menahan tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah pada pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















