BERITA SEMASA

Lelaki dakwa pukul pelajar hingga berdarah hidung beri penjelasan tindakannya

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular menampar seorang pelajar sekolah dalam satu insiden perselisihan jalan raya di Saujana Impian, Kajang semalam tampil memberi penjelasan dan mengakui kesilapannya.

Menerusi satu hantaran dalam laman Instagram selebriti dan pempengaruh terkenal Caprice, individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Amir Muttakin menjelaskan bahawa dia tidak menumbuk, sebaliknya menampar mangsa dua kali.

Malah, dia turut menegaskan bahawa tamparannya tidak mengenai pipi tetapi hidung pelajar tersebut.

Katanya, tindakannya berpunca daripada kemarahan terhadap cara pemanduan remaja terbabit yang  memandu secara melulu dan membahayakan dirinya serta anak-anaknya di dalam kereta.

Pada masa sama, lelaki itu turut memaklumkan bahawa dia telah menyerahkan diri kepada polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang dan menyerahkan bukti termasuk rakaman dashcam kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Cuma buat masa ini saya dah serahkan diri kepada pihak PDRM dan semua bukti kepada pihak berkuasa.

“Mohon Cap turunkan posting dan beri laluan kepada PDRM buat siasatan,” katanya

Tangkap layar mesej yang dikirim seorang lelaki yang didakwa memukul seorang pelajar yang disiarkan dalam laman Instagram Caprice.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Caprice enggan menuruti permintaan lelaki itu.

“Mamat ini mungkin baru follow kepris kot, dengan GISB pun kita tidak goyang, ada hati nak bagi arahan,” tulisnya.

Sebelum ini, tular video pelajar lelaki berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian hidung akibat dipukul.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh pelajar tersebut, lelaki berusia 39 tahun itu telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button