
Legenda Rubiah dipentaskan di MBSA, angkat warisan Kuala Selangor
SHAH ALAM – Kisah penuh emosi, cinta dan kepercayaan masyarakat yang berakar dari legenda Kuala Selangor bakal dihidupkan menerusi Teater Muzikal Rubiah yang bakal dipentaskan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 28 Jun ini.
Teater muzikal itu dianjurkan oleh Persatuan Teater Persona Mantera (PTPM) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Fakulti Filem, Teater & Animasi UiTM, serta MBSA, sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan karya seni dan budaya di Selangor.
Mengangkat inspirasi daripada mitos “Keramat Anak Dara” yang berasal dari kawasan terpencil di Kuala Selangor sekitar tahun 1800, teater itu mengisahkan watak utama Rubiah, seorang gadis kampung yang berdepan dilema antara minat terhadap Al-Quran, adat dan harapan masyarakat agar dirinya menjadi menantu idaman.
Naskhah asal karya Allahyarham Samoza (Sabri Mohd Zain) ini diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Aminah Rhapor, serta dibintangi pelakon terkenal tanah air, Didi Astillah dan Nokhiriah.
Menurut penganjur, pementasan ini bukan sahaja bertujuan memberi hiburan kepada masyarakat, malah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan budaya yang memperkenalkan semula warisan cerita rakyat kepada generasi muda.
Malam pementasan dijangka turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat termasuk Datuk Bandar Shah Alam, Naib Canselor UiTM, serta Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Ahmad Shah yang akan menyempurnakan perasmian.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan bagaimana kisah Rubiah dan Daeng berakhir.
Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Zalina Yan di 012-2158979 atau Khairul Anuar Samsuddin di 013-5459602.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








