Larangan plastik sekali guna di semua premis MBSA
KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus memperkukuh usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah pencemaran diperkukuh melalui pelaksanaan larangan penggunaan plastik sekali guna di semua premis bawah pentadbirannya.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Pengurusan MBSA susulan arahan Kerajaan Negeri Selangor yang menghendaki semua bangunan kerajaan melaksanakan garis panduan bebas plastik.
Menurutnya, ketetapan tersebut bukan sahaja melibatkan Wisma MBSA malah merangkumi semua pejabat cawangan, dewan, perpustakaan serta mana-mana premis lain yang beroperasi di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kali Ke-11 Tahun 2025 di Wisma MBSA, semalam.
Larangan tersebut turut diperluaskan kepada semua program dan aktiviti anjuran MBSA, termasuk majlis rasmi, mesyuarat jabatan dan program komuniti.
Dengan pelaksanaan ini, penggunaan botol plastik, pembalut makanan dan bekas pakai buang berasaskan plastik tidak lagi dibenarkan dalam sebarang operasi atau acara melibatkan MBSA.
Pada 26 Mac lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan Surat Pekeliling SUK (SPBT) Bil. 1 Tahun 2025 yang memperincikan pelaksanaan penuh Program Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna di semua bangunan dan premis pentadbirannya.
Pekeliling tersebut menyusun garis panduan bebas plastik yang bertujuan mengurangkan sisa plastik secara berperingkat selain mengukuhkan budaya kitar semula dalam ruang kerja kerajaan.
Inisiatif yang digerakkan MBSA itu juga selari dengan agenda nasional apabila Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut memperkukuh Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018–2030.
Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr. Ching Thoo Kim sebelum ini menjelaskan bahawa pelan tersebut memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku masyarakat daripada penggunaan plastik secara berlebihan kepada amalan kitar semula dan guna semula, sebagai langkah sistematik mengurangkan pencemaran plastik di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








