Kutipan Kastam cecah RM73.27 bilion, lepasi sasaran MOF
PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sekali lagi mencatat pencapaian memberangsangkan apabila kutipan hasilnya bagi tahun ini mencecah RM73.27 bilion setakat 16 Disember 2025, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF).
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, jumlah tersebut bukan sahaja mengatasi unjuran asal sebanyak RM67.25 bilion, malah melepasi sasaran semakan semula RM73.26 bilion yang diumumkan MOF pada 10 Oktober lalu.
Menurut beliau, berdasarkan Anggaran Hasil Persekutuan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026, unjuran Cukai Tidak Langsung 2025 bagi JKDM telah disemak naik daripada RM67.25 bilion kepada RM73.26 bilion.
“Sehingga 16 Disember 2025, JKDM berjaya mengutip RM73.27 bilion, iaitu lebihan RM6.02 bilion atau 108.95 peratus berbanding sasaran asal.
“Ini bermakna JKDM telah melepasi kedua-dua sasaran kutipan hasil yang ditetapkan, sama ada unjuran awal mahupun semakan semula oleh MOF,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anis Rizana berkata sehingga 30 November 2025, JKDM telah melaksanakan sebanyak 122 operasi penguatkuasaan melibatkan 6,597 kes, sedikit menurun berbanding 6,705 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, nilai rampasan termasuk cukai menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 17.52 peratus kepada RM1.8 bilion berbanding RM1.53 bilion pada 2024, sejajar dengan pendekatan penguatkuasaan berasaskan nilai dan impak berbanding bilangan kes semata-mata.
Beliau berkata, lima komoditi utama mencatat nilai rampasan tertinggi ialah dadah bernilai RM478.5 juta, diikuti kenderaan (RM118.37 juta), rokok (RM96.3 juta), minuman keras dan bir (RM33.53 juta) serta mercun dan bunga api (RM11.24 juta).
JKDM, katanya, akan terus memperkukuh usaha kutipan hasil dan penguatkuasaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, selain merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, agensi penguatkuasaan serta rakan media atas sokongan berterusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








