Kumpulan peluncur selamatkan 6 mangsa bot dipukul ombak
SANTA CRUZ – Sekumpulan peluncur ombak menjadi wira apabila bertindak pantas menyelamatkan enam individu termasuk empat kanak-kanak yang tercampak ke laut apabila bot dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar di Steamer Lane.
Dalam kejadian di lokasi luncur ombak terkenal Pantai Tengah California pada minggu lalu itu, sebuah bot kecil berenjin dilaporkan bergerak laju sebelum dirempuh ombak besar.
Laporan insiden oleh Jabatan Bomba Santa Cruz menyatakan beberapa mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
Seorang saksi, Tuzzi, berkata, beliau menyedari sesuatu yang buruk bakal berlaku sebaik melihat bot berkenaan meluncur laju sebelum dihentam ombak.
Beliau kemudian menyaksikan kira-kira 10 peluncur ombak, termasuk dua remaja berusia 14 tahun, segera berenang ke arah mangsa dan membawa mereka ke tempat selamat dengan menaikkan mereka ke atas papan luncur sementara menunggu bantuan tiba.

Antara yang terlibat dalam usaha menyelamat ialah Darryl “Flea” Virostko, juara tiga kali pertandingan ombak besar Mavericks.
Menerusi hantaran di Instagram, beliau berkata, sebaik melihat bot itu terbalik, beliau terus mendayung secepat mungkin ke lokasi kejadian.
Virostko memaklumkan beliau menarik seorang lelaki dewasa ke atas papannya ketika mangsa berkenaan menjerit memanggil anak-anaknya.
Bot peronda pelabuhan dan ambulans tiba beberapa minit kemudian untuk mengambil alih operasi menyelamat.
Kesemua mangsa dibawa ke hospital dan dilaporkan sedang dalam proses pemulihan.
Ketua Bomba Santa Cruz, Rob Oatey, turut bertemu beberapa peluncur ombak minggu ini bagi merakamkan penghargaan atas keberanian dan tindakan pantas mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








