BERITA SEMASA

KPKT gempur pajak gadai haram di Kota Kinabalu, sita barangan bernilai RM45,840

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan tidak sah apabila menggempur kegiatan pajak gadai tanpa lesen di Kota Kinabalu, Sabah menerusi satu operasi bersepadu, baru-baru ini.

barang disita
Antara barangan yang disita KPKT – Foto KPKT

Dalam operasi yang dijalankan pada 19 Januari lalu, sebanyak empat premis disyaki menjalankan aktiviti pemajakgadaian secara haram telah diperiksa di sekitar Kota Kinabalu, selaras peruntukan Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81).

KPKT berkata, operasi itu dilaksanakan hasil pemantauan berterusan serta aduan orang awam berhubung kewujudan premis pajak gadai tanpa lesen di kawasan berkenaan.

“Hasil tindakan penguatkuasaan tersebut, seramai sembilan individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan, manakala 36 barangan gadaian disita untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM45,840,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPKT, mana-mana individu atau syarikat yang ingin menjalankan perniagaan pajak gadai diwajibkan memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan.

“Kegagalan mematuhi keperluan perlesenan merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang sedia ada dan tindakan tegas boleh diambil tanpa kompromi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya hanya berurusan dengan premis pemajakgadaian berlesen bagi mengelakkan risiko penipuan, kerugian kewangan atau kehilangan harta benda.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketelusan urusan, KPKT turut menggalakkan orang awam menggunakan aplikasi i-Gadaian yang dibangunkan kementerian itu bagi mengenal pasti premis pajak gadai berlesen.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple App Store dan Google Play Store, selain berfungsi sebagai mekanisme perlindungan kendiri kepada pengguna.

KPKT turut berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan industri pemajakgadaian di Malaysia beroperasi secara sah, berintegriti serta mematuhi peraturan ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button