KPKM akan laksana peraturan larang percampuran BPT, beras putih import
Salah satu daripada empat langkah reformasi tangani isu kekurangan BPT
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan peraturan melarang percampuran beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peraturan baharu itu merupakan salah satu daripada empat langkah reformasi yang akan diambil kementeriannya dalam menyelesaikan masalah kekurangan BPT dalam pasaran.
“Langkah ini dibuat setelah kajian, siasatan dan cadangan daripada pasukan ‘task force’ untuk menyelesaikan isu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perhimpunan Bulanan warga KPKM, di sini hari ini.
Tambahnya, pekeliling mengenai peraturan baharu itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Selain itu, katanya, antara pendekatan lain yang akan diambil termasuk melaksanakan pemantapan tatakelola sektor padi dan beras iaitu melalui pengasingan kuasa antara Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) serta penglibatan wakil Kerajaan dalam BERNAS.
KPKM juga akan menggabungkan semua penguat kuasa dibawahnya untuk memantapkan aspek penguatkuasaan.
“Penggabungan kesemua penguatkuasa di bawah KPKM seperti KPB, MAQIS, DOA,DVS, DOF, FAMA dan LKIM,” katanya lagi.
Tambahnya, reformasi pentadbiran juga akan dilaksanakan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








