Keterjaminan makanan penentu kedaulatan negara – Mohamad
KUALA LUMPUR – Keterjaminan makanan perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia bukan sekadar memenuhi keperluan harian rakyat, sebaliknya membabitkan aspek sekuriti negara yang mampu menentukan kestabilan dan kedaulatan sesebuah negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, landskap global yang semakin mencabar akibat perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik menjadikan isu bekalan makanan semakin kritikal dan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh The New York Times selepas menghadiri sesi pertemuan bersama Persatuan Veterinar Haiwan Malaysia (MAVMA), yang turut membincangkan hala tuju serta perancangan kementerian bagi tahun 2026.
“Sekiranya sesebuah negara gagal menjamin bekalan makanannya sendiri, negara tersebut akan sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko serta tekanan luar,” katanya lagi.
Menurut Mohamad, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi fokus utama pada tahun 2026 kepada usaha memperkukuh pengeluaran tempatan, di samping meneruskan sokongan berterusan kepada petani dan penternak sebagai tunjang sektor agromakanan negara.
Selain itu, kementerian turut memberi penekanan terhadap penglibatan golongan belia secara lebih agresif bagi memastikan kelangsungan dan daya saing sektor tersebut pada masa hadapan.
Beliau berkata, dasar yang jelas serta kerjasama erat semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan sektor agromakanan negara kekal berdaya tahan dan mampan.
“Dengan keberanian untuk melakukan perubahan dan komitmen bersama, saya yakin sektor agromakanan negara mampu terus diperkasakan demi melindungi kepentingan rakyat dalam jangka panjang,” katanya lagi.
Tambah beliau, langkah berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan MADANI dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








